Tuesday, February 10, 2009

persidangan pemikiran antarabangsa 2009

MALAYSIA sekali lagi bakal menjadi perhatian dunia kerana terpilih sebagai lokasi Persidangan Pemikiran Antarabangsa (ICOT) ke-14 2009 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, mulai 22 hingga 26 Jun depan. Pemilihan sebagai lokasi persidangan berprestij itu juga menjadikan Malaysia sebagai negara kedua di Asia selepas Singapura menganjurkan acara terbesar itu pada 1997.

Persidangan dihoskan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu bakal menghimpunkan lebih 1,300 penyertaan dari seluruh dunia untuk berbincang dan mengetengahkan isu serta idea baru dalam pemikiran inovatif dan kreatif merentasi pelbagai disiplin. Pro-Canselor UPM, Tan Sri Rozali Ismail, berkata dengan menjadi hos acara berprestij itu, ia memberi makna dan impak besar kepada universiti berkenaan dan negara, sekali gus membuktikan kemampuan institusi pengajian tinggi tempatan menganjurkan acara besar.

Katanya, persidangan itu antara lain akan membincangkan pendekatan mengenai pemikiran kreatif dan inovatif yang relevan, di samping membuka peluang belajar untuk mengasah pemikiran yang mampu memberi motivasi. Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaluddin Syed Salim dan Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nik Mustapha Raja Abdullah.

Persidangan bertemakan Minda Berfikir: Mewujudkan Corak Masa Depan yang Lebih Baik itu juga akan mengetengahkan kira-kira 200 pembentang kertas kerja termasuk tokoh dan nama besar dalam bidang berkaitan. Antaranya pakar bidang pemikiran kreatif, inovasi dan pengajaran kemahiran berfikir, Dr Edward De Bono; pakar dan pensyarah terkemuka dalam bidang pembelajaran dan kemahiran berfikir, Tony Buzan; profesor pengenalan pendidikan John H, Prof Howard Gardner; Elisabeth A Hobbs dari Sekolah Siswazah Pendidikan Harvard dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

0 comments: